Liga Super Malaysia Berita

Johan Kamal Hamidon: Selangor alami pembaharuan mulai tahun depan

Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan bahawa Selangor akan melalui beberapa proses pembaharuan bermula musim depan.

Antaranya, Michael Feichtenbeiner tidak akan terlibat lagi dengan Selangor bermula musim 2023 memandangkan kontraknya berakhir tahun ini dan tidak akan ditawarkan kontrak baharu.

Malah, beberapa perubahan perlu dilakukan Selangor apabila sebanyak 18 pasukan akan beraksi dalam Liga Super bermula musim depan, dengan 9 pemain import boleh ditandatangani dan didaftarkan oleh setiap pasukan.

“Kami sedar peminat tidak berpuas hati dan kami akan melakukan beberapa perubahan untuk musim baharu,” kata CEO Selangor itu kepada NST.

“Bekas ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner tidak lagi terlibat dengan pasukan.”

“Ia kini 100 peratus di bawah jurulatih sementara Nidzam Jamil. Feichtenbeiner hanya membantu dari segi peralihan untuk musim baharu sehingga kita jumpa pengganti.

Bagaimanapun, Karsten Neitzel masih sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan Selangor.

Namun, Johan menjelaskan, Selangor tidak tergesa-gesa untuk mencari ketua jurulatih baharu buat masa ini.

“Kami akan menilai prestasi Nidzam terlebih dahulu. Kami tidak tergesa-gesa untuk melantik orang baharu.

“Memang ada beberapa calon dan kami sedang dalam proses saringan.”