Malaysia Berita

Piala Raja 2022: Malaysia jumpa Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago

Skuad kebangsaan secara rasminya akan menyertai Piala Raja Thailand bersama tiga pasukan lain iaitu tuan rumah Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago.

Perlawanan ini akan diadakan di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 September 2022.

Berdasarkan format perlawanan membabitkan empat pasukan ini iaitu secara kalah mati, dua perlawanan separuh akhir akan berlangsung.

Seterusnya, dua pasukan yang menang akan bertemu pada final manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga.

“Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lalu, kita perlu terus fokus dan memandang ke hadapan dengan permulaan dua perlawanan antarabangsa pada September ini,” kata Kim Pan-gon.

“Seterusnya Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember untuk perjalanan persiapan bagi menghadapi Piala Asia, tahun depan.

“Selain mahu mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan di Chiang Mai nanti, saya mahu menggunakan peluang ini untuk memperkemaskan lagi corak dan filosopi permainan ke tahap yang lebih baik dan sempurna.”

Tiga pasukan tersebut berada pada kedudukan lebih tinggi dalam Ranking FIFA dengan Thailand di kedudukan ke-111, Tajikistan ke-108 dan Trinidad & Tobago ke-101 dunia.