Liga Super Malaysia Berita

FAM dedah Sarawak United dikenakan sekatan perpindahan sejak awal tahun ini

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengakui FIFA mengenakan sekatan perpindahan Sarawak United sejak awal tahun ini.

Sekatan itu dikenakan sejak pasukan dari Borneo itu gagal melunaskan tunggakan gaji terhadap bekas pemainnya, Taylor Regan.

“Sarawak United dikenakan sekatan perpindahan pemain awal lagi babitkan kes Regan,” katanya kepada Harian Metro.

“Mulai 1 Julai ini pula, Sarawak dikenakan kes kedua babitkan Sandro, sama seperti isu Regan.

“Tapi sekatan untuk kes Sandro ini sudah melepasi jendela perpindahan kedua bulan lalu.

“Jadi Sarawak perlu selesaikan hingga hujung musim ini dan jika tidak, agak sukar persediaan mereka pada musim depan.”

Jelasnya lagi, Sarawak United berdepan sekatan sama seperti Perak sebelum ini.

“Bila semua tunggakan diselesaikan baru FIFA akan benarkan semula untuk daftar pemain baru.

“Tapi sebab jendela perpindahan liga kita dah tak ada, jadi kena tunggu musim depan.”

Bagaimanapun, Sarawak United tidak dikenakan sebarang pemotongan mata, berbanding Perak yang dipotong sehingga 9 mata musim ini kerana gagal membayar tunggakan pemain sebelum diambil alih oleh XOX Berhad.