Liga Super Malaysia Berita

Jordi Amat: Demi Indonesia saya pilih sertai JDT

Jordi Amat mengakui beliau membuat keputusan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim adalah demi menguatkan skuad kebangsaan Indonesia.

Ini setelah pemain pertahanan berusia 30 tahun itu dikecam oleh peminat Indonesia selepas didakwa mahu mendapatkan kerakyatan negara itu kerana ingin mengisi kuota Asia di JDT.

“Saya pilih JDT bukan kerana wang semata, ” katanya dalam kenyataan di akaun Instagram miliknya.

“Sebelum saya mengambil keputusan ini, saya juga mendapatkan beberapa tawaran dari beberapa liga-liga kuat dari negara lainnya,

“Saya pilih Johor adalah usaha saya beradaptasi di Asia, kerana ia dekat dengan Indonesia dan membolehkan saya beraksi di tahap tertinggi bola sepak Asia, kerana JDT bersaing di ACL, Asian Champions League.

“Johor hanya 2 jam perjalanan dari Indonesia menggunakan kapal terbang, dan masih bersaing di pusingan 16 akhir.”

Beliau juga kagum dengan fasiliti yang dimiliki JDT ketika ini, selepas mengadakan lawatan di Johor atas jemputan TMJ.

“Saya boleh jamin kepada semua bahawa fasiliti seperti ini belum saya pernah temui pada kelab-kelab saya sebelum ini.

“Rakan-rakan dan bekas rakan sepasukan saya di Asia juga mengesyorkan saya untuk sertai JDT. Oleh kerana semua saranan dan pendapat ini akhirnya saya putuskan untuk pilih Johor.”

Pada masa sama, keputusannya itu juga akan memberikan manfaat kepada skuad kebangsaan Indonesia.

“Nenek saya lahir, besar dan tinggal di Makassar, Indonesia, di mana saya masih punya keluarga di sana.

“Saya sangat bangga dapat beraksi dengan Indonesia. Tujuan saya adalah membantu negara. Dengan kerja keras dan pengalaman saya serta semua itu akan saya usahakan untuk membuat kalian bangga akan pencapaian kita di masa yang akan datang.

“Saya harap semua pihak menghormati keputusan saya meninggalkan Eropah. Saya rasa saya sudah melakukan keputusan yang betul terhadap perjalanan baru dalam hidup saya.”