Eropah Berita

Barcelona tersingkir dari UCL, terpaksa beraksi di Europa League

Barcelona tersingkir dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas tewas 3-0 kepada Bayern Munich awal pagi tadi.

Gol Thomas Mueller, Leroy Sane dan Jamal Musiala memberi tamparan hebat kepada pengurus Barca, Xavi yang baru sahaja mengendalikan kelab itu.

Malah, kemenangan 2-0 Benfica ke atas Dynamo Kiev bermakna gergasi bola sepak Sepanyol itu menamatkan Kumpulan E di tempat ketiga.

Ini kali pertama Barca tersingkir awal sejak musim 2000-2001 dan kali pertama akan beraksi di Europa League dalam sejarah.

“Inilah realiti yang harus kami terima,” kata Xavi.

“Sekarang kami akan beraksi dalam Liga Europa, era baharu bermula hari ini.

“Barcelona tidak layak berada dalam Liga Europa, mereka patut berada dalam Liga Juara-Juara. Kami bermula semula dari kosong.”