Ong Kim Swee berharap barisan pemain B-22 negara memburu minit permainan secukupnya bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.
Ini selepas skuad kendalian Brad Maloney layak ke Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan tahun depan, selepas mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Bekas Pengarah Teknikal FAM itu berkata, kebanyakan pemain dari Korea Selatan, Australia dan Jepun beraksi di liga utama negara masing-masing, malah ada yang turut menimba pengalaman di luar negara.
“Saya harap pemain-pemain ini dapat bermain setiap minggu,” kata Ong kepada Bernama.
“Terutamanya di awal saingan liga musim depan mereka bermain setiap minggu, ini dapat membantu dari segi intensiti dan persiapan diri mereka sebelum dipanggil ke kejohanan antarabangsa.”
Bagaimanapun, beliau yang juga jurulatih Sabah mengakui jurulatih pasukan liga berdepan dilema untuk mempertaruhkan pemain muda dalam perlawanan-perlawanan liga.
“Jika peluang dan pendedahan tidak diberi, kita tidak akan nampak kemajuan pemain dan ia akan terbantut.
“Walaupun kita mempunyai ramai bakat, jika tidak bermain secara kompetitif ia akan melambatkan proses kematangan mereka.”