Seorang peminat Newcastle United, Glen Stidolph menyifatkan isu pengambilalihan Dana Pelaburan Awam (PIF) terhadap pasukannya tidak sepatutnya dicampur adukkan dengan isu politik semasa.
Dalam rancangan Football Tribe iaitu Shoot Your Mouth Off! bersama Andy Penders, Glen menganggap isu politik melibatkan Arab Saudi sengaja digunakan sebagai alasan supaya pengambilalihan Newcastle tidak dapat dilakukan.
“Banyak cakap-cakap mengenai Jamal Khashoggi tapi hanya satu sebab mengapa pengambilalihan ini dapat dilakukan, ia adalah kerana BeIN Sports, jadi yang dalam Premier League mengatakan sebaliknya adalah mengarut sebab enam kelab besar yang diterajui Tottenham cuba menghalangnya.
“Saya anggap hak asasi manusia adalah sekadar wayang, sebab saya tetap sokong hak asasi manusia tetapi jika ada yang dalam industri ini menggunakan alasan itu, ia adalah mengarut.
“Kita tahu bola sepak ini banyak politiknya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, United Kingdom banyak buat kerjasama dengan Arab Saudi, jadi sama juga dengan PIF yang melabur dengan kelab Newcastle, bukan itu sahaja, mereka cipta peluang pekerjaan dan melabur kepada keseluruhan kawasan Newcastle.
“Jadi peminat tak patut bertanggungjawab ke atas isu moral, ini bukan salah peminat. Ramai mengatakan kami meraikan pelanggar hak asasi, tapi come onlah…kami cuma peminat, apa yang kita mahukan adalah pasukan.
“Kita pun tak jangka apa-apa, apa yang kita mahukan adalah pemilik buat sesuatu daripada duduk di tangga ke-16 dalam liga.”
Dalam pada itu, Glen berharap dapat melihat kelibat Brendan Rodgers sebagai pengurus baharu di Newcastle.
“Saya sukakan Brendan Rodgers, beliau mempunyai cara permainan yang baik, prestasinya pun bagus ketika ini, sangat sesuai dengan Newcastle.”
Namun, ketika ditanya sama ada pemain bintang mana Newcastle perlu tandatangani, Glen sebaliknya bersikap lebih realistik.
“Kena ingat ada Financial Fair Play jadi kena berhati-hati, pastinya duit yang akan masuk nanti digunakan untuk infrastruktur sebab kita ada akademi yang teruk, fasiliti teruk, stadium bagus tapi yang lain semua teruk.
“Pengurusan baru juga berusaha untuk memenuhi permintaan peminat, ini satu perkara positif untuk kelab, untuk peminat kerana sudah lama kami tak menang piala, sejak 50an, memang sangat teruja ketika ini.
“Tak kisah bawa pemain mana pun, tapi mereka akan bawa masuk dengan betul, tak kira macam mana enam kelab besar Premier League cuba halang kami, terimalah apa yang sudah berlaku, sampai masa kami berseronok sedikit.”