Liga Super Malaysia Berita

MFL: Maksimum 20,000 penonton boleh masuk stadium

Seramai 20,000 penonton dibenarkan masuk ke stadium untuk satu-satu perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung pada 29 Oktober ini.

Ini berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Malah, jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3; 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4; 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

“MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton,” kata Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

“Ini berdasarkan kemampuan kelab daripada segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshall pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga TM Piala Malaysia.

“Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Manakala bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang telah dikeluarkan sebelum ini.”

Pada masa sama, penyokong juga dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan kelab-kelab yang bertanding dalam TM Piala Malaysia.

“MFL turut membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan kelab-kelab yang mahu membuat persiapan menjelang perlawanan Piala Malaysia.

“Bagaimanapun kelab-kelab terlibat perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada MFL dan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan KBS bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan.

“Ini penting bagi memastikan kita bersama-sama menjaga SOP bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“SOP-SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktober 2021 akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat.”