Liga Super Malaysia Berita

Faisal Halim akui terima tawaran luar negara, mungkin berhijrah tahun depan

Faisal Halim mengakui beliau menerima tawaran dari ejen luar negara.

Ini selepas pemain berusia 23 tahun itu menunjukkan prestasi baik ketika beraksi dengan skuad kebangsaan baru-baru ini.

“Sejujurnya memang ejen dari Sepanyol itu ada menghubungi saya,” katanya kepada Astro Arena.

“Tapi saya belum tahu lagi perinciannya, kalau ada rezeki saya memang mahu ke sana.

“Selepas habis liga, baru saya fikirkan tawaran ini. Kalau betul ada rezeki, ada peluang bermain di luar negara, saya tidak akan tolak.”

Bagaimanapun, beliau memuji pasukannya, Terengganu yang banyak membantu meningkatkan prestasinya hingga tersenarai dalam skuad kebangsaan.

“Saya mampu beraksi bersama skuad negara dengan mengekalkan prestasi seperti dalam Liga Super adalah kerana pasukan Terengganu dan jurulatih, Nafuzi Zain.

“Konsep Terengganu ialah aksi berkeamatan tinggi yang melibatkan hantaran satu dua.

“Jurulatih berpesan jika ada ruang maka saya boleh gelecek pemain lawan, di kawasan tiga perempat lawan pula kami diberi kebebasan, bermain mudah.

“Begitu juga dalam skuad kebangsaan, cuma saya perlu perbaiki lagi tahap permainan sekiranya saya disenaraikan dalam Piala AFF.

“Saya tidak rasa pujian ini adalah satu perkara yang hebat yang perlu dibangga-banggakan.

“Adalah lumrah apabila pemain beraksi dengan baik, kami akan mendapat pujian tapi kalau mengalami keadaan sukar pula akan menerima kritikan.

“Saya berterima kasih atas pujian dan berharap ia akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk membaiki kelemahan.”

Dalam pada itu, ejen kepada Faisal iaitu Alif Azilan dari Estrada Sports Agency mengesahkan perbincangan akan dilakukan dengan pengurusan kelabnya memandangkan Faisal masih mempunyai baki kontrak hingga November 2022.

“Saya beritahunya agar menghormati kontraknya sementara tawaran daripada pasukan lain saya perlu tengok dulu.

“Saya sebagai ejennya akan berjumpa dengan pengurusan Terengganu. Tetapi pemain perlu hormati kontrak sedia ada dan berikan komitmen dalam baki Piala Malaysia.

“(Ejen Sepanyol itu memang ada bertanyakan) perincian klausa pelepasan dan gaji pemain.”