Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Luqman Hakim akan diberi minit permainan kali ini

Tan Cheng Hoe memberi jaminan bahawa Luqman Hakim Shamsudin akan mendapat minit permainan pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Jordan, bulan ini.

Ini selepas beliau hanya masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Kita tahu kemampuan dan tahap keyakinan Luqman kerana selepas beberapa kali bersama pasukan kini beliau nampak semakin serasi dengan pemain lain,” kata Cheng Hoe kepada Bernama.

“Kita akan terus memantau perkembangannya dan sudah tentu akan diberi minit permainan sewajarnya kepada beliau bersama skuad kebangsaan kali ini.”

Luqman Hakim membuat tiga penampilan ketika Malaysia menghadapi kempen Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.

Namun, pemain berusia 19 tahun itu hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut termasuk satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang diadakan sebelum itu.

Malaysia akan berdepan Jordan di Stadium King Abdullah II di Amman hari ini dan Uzbekistan pada 9 Oktober di Stadium Antarabangsa Amman.

Sementara itu, Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan beberapa muka baharu akan diberi peluang dalam kesebelasan utama pasukan.

Lima muka baharu ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Quentin Cheng, Al Hafiz Harun, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Hakimi Abdullah.

“Kami sedang menilai setiap pemain baharu yang datang ke skuad kebangsaan kali ini.

“Selepas beberapa sesi latihan kita nampak mereka ada kesungguhan serta keyakinan dan sudah tentu semua pemain yang datang ke skuad kebangsaan akan diberikan peluang beraksi.”