Liga Super Malaysia Berita

Saifuddin Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM baharu

Mohd Saifuddin Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Beliau mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Stuart Ramalingam yang akan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL).

Mohd Saifuddin, 60, merupakan individu yang berpengalaman luas dalam pengurusan sukan bolasepak.

Beliau mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991, sebelum menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Jabatan Pertandingan dan menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.

Beliau yang berasal dari Melaka kemudian kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009.

Namun Saifuddin membuat keputusan untuk berhijrah ke Timur Tengah apabila dilantik sebagai Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League dan kemudiannya berkhidmat sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.

Mohd Saifuddin juga merupakan Komisioner Perlawanan FIFA dan AFC.