Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan kepada semua pasukan Liga Malaysia berhubung kedudukan kewangan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa liga berlangsung.
Beliau mengakui masih ada pasukan yang berdepan dengan masalah kewangan, dan ada kemungkinan MFL perlu mengambil langkah berbeza melalui Program Kawalan Ekonomi (ECP).
“Saya selalu ingatkan, pasukan mesti berbelanja mengikut bajet,” kata Hamidin semasa sidang media.
“Kalau ikut pemerhatian kami, ada kelab yang assume dia akan ada RM50 juta nanti tapi dia ada RM8 juta. Ini tidak boleh dibuat, tanpa duit pasti ia akan menyukarkan keadaan.
“Jadi ECP akan diperketat, atau mungkin ECP yang sedia ada kita akan guna pakai sebab MFL ada hak untuk memastikan rakan kongsi terjaga dan terbela.”
“Dulu ada pasukan begitu mewah, sekarang dah teruk. Memang ada pasukan sekarang ini hadapi masalah dan kita mahu address isu ini lebih awal sebelum keadaan mereka jadi lebih teruk.”
Hamidin juga mengesahkan bahawa audit pasukan Liga Malaysia sudah bermula dan hasilnya akan dimaklumkan kelak.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penularan kes Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai yang menyebabkan jadual Liga Malaysia terpaksa ditunda dan diselaraskan semula, Hamidin menegaskan perkara itu akan ditangani sebaik mungkin.
“Mana-mana pasukan yang gagal pastuh SOP, kita akan jatuhkan hukuman. Hukuman akan ditentukan dan diumumkan. Kita akan pastikan perkara ini tidak akan terjadi lagi di masa akan datang.”