Liga Super Malaysia Berita

JDT, Perak, Kelantan, Rajagobal beri sokongan kepada Brendan Gan

Selepas disahkan menghidap kanser, Brendan Gan menerima sokongan dan kata-kata semangat daripada pelbagai pihak.

JDT merupakan antara pasukan Liga Super yang terawal memberikan sokongan kepada Brendan.

“Kami seluruh keluarga JDT mengharapkan agar Brendan Gan cepat sembuh. Doa dan ingatan kami bersama anda,” Menurut Johor Southern Tigers.

Namun yang lebih manis apabila bekas pasukan Brendan iaitu Kelantan turut memberikan sokongan kepada beliau.

“Seluruh warga TRW Kelantan FC ingin menyeru kepada seluruh peminat The Red Warriors yang masih mengingati bekas pemain Kelantan FA agar mendoakan beliau cepat sembuh dan kembali pulih seperti sediakala.

“Beliau didapati menghidap kanser testis dan telah berjaya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini dalam pemantauan pakar perubatan,” Menurut TRW Kelantan FC.

Brendan beraksi bersama Kelantan pada musim 2014 hingga 2016. Di Kelantan jugalah, beliau mula beraksi buat pertama kali sebagai pemain tempatan.

Sebuah lagi bekas pasukan Brendan, Perak turut tidak lupa untuk memberikan kata-kata semangat kepada beliau.

“Kami di Perak FC dan seluruh penyokong bola sepak tanah air di Perak mendoakan agar pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan yang disahkan menghidap kanser testis agar diberi kesembuhan segera dan kembali pulih seperti sedia kala. Semoga terus kuat,” Menurut Perak FC.

Brendan yang beraksi dengan Perak pada musim 2018 dan 2019 menjulang Piala Malaysia 2018.

Tidak ketinggalan, bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang berharap dapat melihat beliau kembali beraksi.