Liga Super Malaysia Berita

Brendan Gan bersemangat lawan kanser, mahu kembali beraksi di atas padang

Brendan Gan menyifatkan kanser testis yang dihadapinya sebagai cabaran seterusnya dalam hidupnya.

Malah, pemain kebangsaan berusia 33 tahun itu menganggap kanser tersebut memberikan kekuatan untuk beliau meneruskan kehidupan.

“Kisah hidup hanyalah kisah positif, bahkan apa yang disebut “negatif” telah memberi saya kekuatan dan selalu membuat saya mencari sisi yang cerah dalam setiap situasi,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Ini telah membina watak dan ketabahan saya untuk bertahan dalam apa jua cabaran. Ini telah membawa saya ke cabaran seterusnya.

“Saya telah didiagnosis menghidap kanser testis, saya telah menjalani pembedahan dan akan menghadapi proses rawatan seterusnya tidak lama lagi.”

“Saya bersyukur kerana mempunyai kumpulan yang menyokong di sekeliling saya, isteri saya dan Lil Koko yang memberi saya motivasi untuk menjalani kehidupan dengan sepenuhnya, keluarga saya yang telah berada bersama sepanjang apa jua rintangan, rakan-rakan saya yang luar biasa yang telah bersama di sisi saya tidak kira apa jua keadaan dan komuniti bola sepak.”

Beliau bagaimanapun tidak takut dengan kanser yang dihadapinya, malah enggan mengalah dan mahu kembali beraksi semula di atas padang.

“Kanser tidak akan menentukan kehidupan saya, ia hanyalah jalan indah yang singkat yang akan saya lalui dan akan kembali ke kehidupan yang saya lalui sebelum ini.

“Dunia telah menjadi gila sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mari kita bantu membantu dan sentiasa mencari yang positif dalam setiap keadaan!

“Motivasi saya adalah untuk melawan ‘C’ yang besar dan kembali memimpin pasukan tidak lama lagi!”