Benjamin Mora mahu JDT meneruskan rentak kemenangan apabila akan bertemu kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dalam aksi saingan kumpulan G Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada malam ini.
Jurulatih JDT itu berpendapat, perlawanan malam ini dijangka sengit namun mengharapkan kejayaan pasukannya menundukkan Ratchaburi FC, 1-0 sebelum ini mampu menjadi satu motivasi terbaik buat mereka.
“Motivasi amat penting dalam mana-mana sukan,” katanya kepada Sinar Harian.
“Adalah penting untuk pemain tahu apa yang mereka mahukan dan bagaimana untuk mendapatkan perkara tersebut.
“JDT dalam situasi yang amat baik dalam aspek mental dan emosi ketika ini selepas bersaing di peringkat tinggi menentang pasukan hebat Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC sebelum ini.”
Bagaimanapun, Mora mengakui jentera serangan perlu diperbaiki selepas banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Ratchaburi FC.
“Salah satu aset terbaik dimiliki kelab ini adalah mereka mempunyai banyak ruang untuk melakukan penambahbaikan dalam meningkatkan kualiti permainan.
“Jadi kami akan bermain dengan aura yang sama dalam menghasilkan peluang bagi memburu jaringan dan sudah tentu, kami mahu perbaiki penyudahnya dan saya yakin ia boleh dilakukan.”

Kapten JDT, Farizal Marlias pula berharap rakan sepasukan dapat meneruskan rentak permainan dengan penuh disiplin sebagaimana ditampilkan ketika mereka melakarkan kemenangan ke atas Ratchaburi FC.
“Alhamdulillah, sudah tentu kemenangan itu dan ‘clean sheet’ memberi motivasi bukan sahaja buat diri saya tetapi seluruh pasukan.
“Saya tahu pemain JDT boleh beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan yang dihadapi mereka.”
JDT mengutip tiga mata selepas menundukkan Ratchaburi FC 1-0 dalam perlawanan kedua mereka selepas tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus dalam perlawanan pembukaan bagi saingan ACL 2021.