Malaysia Berita

Safawi Rasid muncul wira Harimau Malaya tundukkan Thailand, hidupkan peluang layak ke Piala Asia 2023

Malaysia menamatkan kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dengan kemenangan 1-0 ke atas Thailand, sekali gus berpeluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Gol kemenangan skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua perlawanan.

Kemenangan itu juga membolehkan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga yang secara automatik layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Keputusan itu turut menyaksikan  Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan itu sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Kemenangan itu juga cukup penting buat ranking FIFA apabila Malaysia yang menduduki tangga ke-153 dunia bakal mendapat mata yang banyak kerana menewaskan Thailand yang menduduki tangga ke-106 dunia.

Kemenangan itu berjaya dicapai hasil kemasukan enam muka baharu dalam kesebelasan utama yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang UAE dan Vietnam iaitu Khairulazhan Khalid yang menggantikan Farizal Marlias, Syahmi Safari yang mengisi posisi pertahanan kiri, Nazmi Faiz Mansor, Azam Azih, Akhyar Rashid dan Arif Aiman.

Dalam 10 minit pertama, kedua-dua pasukan saling menguji kekuatan benteng pertahanan masing-masing dengan Akhyar mempunyai peluang terbaik membuka tirai jaringan.

Malah, Akhyar memaksa pasukan lawan bekerja keras apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid dan hampir menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-18, namun gagal menemui sentuhan penyudah dalam situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan.

Malaysia terus tampil dengan percubaan berbahaya menerusi tandukan penyerang Guilherme De Paula namun diselamatkan oleh penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom pada minit ke-22, serta cemerlang menyelamatkan tandukan Aidil Zafuan lima minit kemudian.

Kebuntuan dalam menjaringkan gol memaksa Cheng Hoe membawa masuk Safawi dan Syafiq Ahmad pada separuh masa kedua dan ia ternyata membuahkan hasil apabila diberikan sepakan penalti selepas Safawi dikasari pemain pertahanan Thailand, Ernesto.

Sepakan penalti Safawi dapat dibaca oleh Chatchai, namun gagal menangkap kemas bola apabila ia meluru masuk menembusi gawang gol Thailand.

Thailand hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan kapten Thitiphan Puangjan pada minit ke-55 namun hanya sekadar terkena palang.

Malaysia berpeluang menambah jaringan pada minit ke-66 tetapi rembatan deras De Paula melambung tinggi, dengan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

UAE pula menamatkan pusingan kelayakan sebagai pendahulu Kumpulan G dengan kemenangan 3-2 ke atas Vietnam.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga Kumpulan G dengan mengumpul 12 mata di belakang juara UAE (18 mata) diikuti Vietnam kedua (17 mata) sementara Thailand keempat (9 mata) dan Indonesia di kedudukan terakhir dengan mengutip satu mata.