Malaysia Berita

Harimau Malaya tidak bernasib baik, penalti punca Malaysia tewas kepada Vietnam

Skuad Harimau Malaya tidak bernasib baik apabila tewas 2-1 kepada Vietnam gara-gara sepakan penalti kurang 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Vietnam mendahului menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27, yang gagal dihalang oleh benteng pertahanan negara.

Malaysia juga mempunyai beberapa peluang menerusi tandukan Syafiq Ahmad dan sepakan percuma Safawi Rasid namun kedua-duanya berjaya dihalang oleh penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Skuad negara yang dilihat sukar untuk mencipta lebih banyak peluang gol memaksa Tan Cheng Hoe menggantikan Syafiq dan Safawi dengan membawa masuk Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid.

Kemasukan pemain baharu akhirnya membuahkan hasil apabila ia meningkatkan tahap serangan ke arah gawang gol sehingga penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula dihadiahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan dalam kotak penalti.

De Paula mudah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penaltinya pada minit ke-72.

Namun, hasrat skuad negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan oleh Que Ngoc Hai pada minit ke-82, setelah Brendan mengasari Nguyen Van Toan.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad Harimau Malaysia selepas diaibkan 0-4 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

UAE terus mengekalkan rekod cemerlang apabila membelasah Indonesia 5-0, menyaksikan Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah di tangga teratas kumpulan G dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata), Thailand (9), Malaysia (9) dan Indonesia (1).

Malaysia beraksi dalam perlawanan terakhir menentang Thailand pada awal pagi Rabu, manakala Vietnam akan bertemu UAE dalam penentuan juara kumpulan.