Liga Super Malaysia Berita

Hafizul Hakim akui dapat tiga tawaran

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy baru sahaja dilantik sebagai kapten baharu Perak, selepas Shahrul Saad membuat keputusan untuk menyertai JDT.

Namun, beliau juga menerima tawaran untuk menyertai pasukan lain dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

“Saya menerima tiga tawaran pasukan lain tetapi belum buat keputusan untuk terima atau tidak,” katanya kepada Utusan.

“Terus terang sukar untuk buat keputusan. Memang kalau boleh saya tidak mahu tinggalkan Perak.

“Apapun saya akan berbincang dahulu dengan keluarga sebelum membuat keputusan besar ini.”

Hafizul mempunyai tempoh sehingga 31 Mei ini iaitu tarikh akhir bagi jendela perpindahan kedua untuk membuat keputusan.

“Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat.”

Dalam pada itu, Hafizul mendedahkan akan ada lagi beberapa pemain utama yang bakal berhijrah ke pasukan lain.

“Siapa yang akan keluar, saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier.”

Katanya lagi, para pemain mengambil keputusan ‘angkat kaki’ bukan semata-mata kerana kelewatan pembayaran gaji tetapi sikap pengurusan Perak yang tidak menghormati pemain.

“Mereka kecewa sampai ada yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain.

“Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing.”