Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Tiada istilah pemain kesayangan

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe tampil mempertahankan 25 pemain pilihannya untuk skuad kebangsaan, walaupun dikritik hebat oleh peminat.

Ini selepas beliau disifatkan mempunyai anak emas apabila beberapa pemain terutamanya Akhyar Rashid tidaklah mendapat minit permainan yang banyak, tetapi terus dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.

Malah, tiada seorang pun pemain dari pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, Terengganu yang tersenarai, manakala tempat ketiga Liga Super, Kedah hanya diwakili seorang pemain iaitu Rizal Ghazali.

“Setiap orang ada pandangan dia sendiri mengenai seseorang pemain itu,” katanya kepada Sinar.

“Memang saya tahu ada orang akan bandingkan pemain lain dengan skuad yang telah saya pilih ini.

“Tetapi barisan jurulatih pasukan kebangsaan dah buat analisis serta pemantauan terhadap 25 pemain. Mereka yang dipanggil boleh memberikan sesuatu kepada pasukan buat masa ini.

“Ada orang kata macam anak kesayangan dan sebagainya. Tiada istilah itu kerana pemilihan berdasarkan pemain-pemain yang mampu memberikan persembahan terbaik kepada pasukan kebangsaan.”

Cheng Hoe menegaskan selain prestasi dalam saingan liga, beliau juga mengambil kira pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan yang menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan pemain kali ini.

“Mana-mana jurulatih dalam dunia ini sudah tentu mahu pemain yang bagus dan meraih keputusan yang positif.

“Saya tidak pilih pemain itu contohnya datang daripada kelab mana asalkan mereka mampu memberikan persembahan terbaik.

“Pengalaman pernah bermain bersama Harimau Malaya antara menjadi kriteria pemilihan kami. Tetapi, kalau selepas kempen ini berakhir dan pemain tidak menyerlah, kami akan beri peluang kepada pemain lain.

“Seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, pintu sentiasa terbuka buat semua pemain. Tetapi buat masa ini kita fokus dulu untuk pusingan kelayakan.”