Liga Super Malaysia Berita

Perlawanan antara Kedah dan JDT diadakan tanpa penonton

Perlawanan Liga Super antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 Mei ini di Stadium Darul Aman akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Kedah.

MFL membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung pelaksanaan PKP di beberapa daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula pada 1 hingga 14 Mei 2021 berikutan peningkatan kes COVID-19.

“Maka MFL menetapkan bahawa perlawanan Liga Super 2021 Bil. 67 di antara Kedah Darul Aman FC melawan Johor Darul Ta’zim pada Selasa ini di Stadium Darul Aman akan dimainkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.”

Justeru, tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan juga mendedahkan bahawa pihaknya akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.

“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Kedah jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas- petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak.

“Saya berharap agar semua pihak terlibat akan terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini.”