Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Terengganu terlepas peluang kejar JDT, dikejutkan dengan keunggulan Pulau Pinang

Selepas berjaya menumbangkan juara bertahan Liga Super, JDT di gelanggangnya sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, ramai yang menyangkakan Terengganu mampu mencatatkan kemenangan ke atas Pulau Pinang di Kuala Terengganu minggu ini.

Sebaliknya, pasukan Pantai Timur itu dikejutkan dengan kekalahan besar 4-1 kepada pasukan Pantai Barat, Pulau Pinang.

Malah, Terengganu bolos dua gol dalam tempoh 20 minit menerusi gol pendahuluan Pulau Pinang hasil tandukan import Tajikistan, Sheriddin Boboev seawal minit ke-7 dan tandukan Endrik dos Santos pada minit ke-21.

Terengganu hanya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-59 menerusi tendangan deras dari jarak jauh oleh Hakimi Abdullah.

Namun, pasukan tuan rumah seolah-olah hilang tumpuan apabila Pulau Pinang berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit sahaja, kedua-duanya menerusi tandukan Casagrande pada minit ke-66 dan 68 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Luar biasanya, keempat-empat gol yang dijaringkan Pulau Pinang adalah menerusi tandukan.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan, menyaksikan Terengganu terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan dengan JDT di tangga teratas Liga Super, sebaliknya jatuh di tangga ke-4 dengan mengumpul 21 mata.

Pulau Pinang kini di tempat ke-3 dengan 22 mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Pahang menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan apabila menewaskan UiTM FC 5-0 di Kuantan.

Lee Tuck menjaringkan gol seawal minit pertama, disusuli dengan pertahanan pasukan Pedro Henrique pada minit ke-34.

Baqiuddin Shamsudin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66, Herold Goulon menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 sebelum Fahmi Mohd Sabri tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-72, memberikan kemenangan kedua buat Pahang musim ini.

Pahang bagaimanapun masih kekal di tangga ke-11 dengan 8 mata, manakala UiTM kekal di tangga tercorot dengan hanya 1 mata.