Liga Super Malaysia Berita

Dua pemain Kedah digantung, pegawai-pegawai Terengganu turut dikenakan hukuman keras

Kedah menerima tamparan besar apabila dua pemainnya, Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Rodney Celvin Akwensivie dikenakan hukuman penggantungan dan bakal terlepas beberapa perlawanan Liga Super.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata, Fadzrul melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan ketika perlawanan Liga Super 2021, Kedah melawan Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan 4 perlawanan termasuk 1 penggantungan perlawanan secara automatik dan didenda sebanyak RM10,000 akibat daripada kad merah yang diterimanya pada perlawanan tersebut.”

Fadzrul sudah pun menjalani penggantungan automatik dan terlepas perlawanan menentang Perak pada 17 April 2021 lalu.

Beliau juga tidak terlibat dengan perlawanan menentang Melaka United semalam.

Fadzrul juga boleh terlepas perlawanan menentang JDT pada 4 Mei ini dan Sabah pada 8 Mei ini serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, keputusan tersebut boleh dirayu.

Rodney pula didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan ketika perlawanan Liga Super 2021 berdepan Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

Oleh sebab itu, beliau dikenakan hukuman penggantungan 2 perlawanan termasuk 1 penggantungan perlawanan secara automatik akibat daripada kad merah yang diterimanya pada perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Rodney sudah pun menjalani penggantungan dalam perlawanan menentang Perak pada 17 April lalu dan Melaka semalam.

FAM turut menghukum pegawai-pegawai pasukan Terengganu, namun ia langsung tidak melibatkan seorang pun pemainnya mahupun Nafuzi Zain sendiri sebagai ketua jurulatih pasukan.

Pegawai-pegawai itu didapati melanggar Artikel 54 (b) Kod Tatatertib FAM iaitu perlakuan terhadap kumpulan pengadil pada perlawanan Liga Super 2021 ketika berdepan Sabah di Kota Kinabalu pada 21 Mac lalu.

Akibatnya, pegawai-pegawai itu dikenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 akibat daripada tindakan mereka yang berkelakuan tidak wajar kerana telah mengugut dan mengganggu kumpulan pengadil semasa dan selepas perlawanan sehingga memerlukan campur tangan pihak polis.

Mereka juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, namun keputusan tersebut boleh dirayu.

Hukuman turut dikenakan kepada pengurus pasukan Terengganu, Zul Fadli Rozi dan pegawai pasukan, Mohd Shukri Che Zakaria.

Zul berdepan dua pertuduhan apabila didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dan cubaan menyerang kumpulan pengadil pada perlawanan Liga Super 2021 menentang Sabah di Kota Kinabalu.

Justeru, bagi pertuduhan pertama, pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil perlawanan dan kumpulan pengadil perlawanan apabila setelah tamat perlawanan, kerana beliau telah mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Pengadil Perlawanan dan/atau kumpulan Pengadil Perlawanan.

Bagi pertuduhan kedua, Zul dikenakan hukuman penggantungan 2 perlawanan akibat daripada tindakannya terhadap pengadil perlawanan, serta cuba menyerang pengadil perlawanan dan kumpulan pengadil [erlawanan yang ingin masuk ke bilik persalinan pengadil.

Oleh itu, secara keseluruhan Zul dikenakan penggantungan 4 perlawanan iaitu perlawanan dengan Pulau Pinang pada 1 Mei, UiTM pada 4 Mei, Selangor pada 9 Mei dan Perak pada 9 Julai.

Beliau juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, namun ia boleh dirayu.

Shukri pula dikenakan hukuman penggantungan 2 perlawanan dan denda sebanyak RM5,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Penolong Pengadil 1, Mohd Junaidy Abd. Samad semasa perlawanan menentang Sabah.

Beliau tidak boleh hadir pada perlawanan menentang Pulau Pinang pada 1 Mei dan UiTM pada 4 Mei ini, namun keputusan dendanya boleh dirayu.