Liga Super Malaysia Berita

Mora: JDT mahu bangkit dari kekalahan

Benjamin Mora mahu Johor Darul Ta’zim bangkit dari kekalahan kepada Terengganu minggu lalu.

Namun, beliau mengakui tugas itu sukar apabila JDT akan berdepan beberapa perlawanan sukar termasuklah pertemuan dengan KL City, Jumaat ini.

“Bermula pusingan kedua kami akan ke Alor Setar berdepan Kedah pada 4 Mei disusuli menentang Pulau Pinang pada 8 Mei,” katanya kepada Harian Metro.

“Selepas itu kami perlu siapkan pasukan mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Thailand.

“Saya anggap ketiga-tiga aksi liga sukar namun persiapan rapi tetap dilakukan selepas mengalami kekalahan pertama sejak 2019 dengan 21 perlawanan tanpa tewas dan ia beri motivasi yang lebih kuat kepada kami untuk bangkit.

“Kami juga akan berdepan Bojan Hodak yang pernah membimbing JDT dan ia satu yang menarik memandangkan beliau mengenali corak permainan beberapa pemain senior dalam pasukan JDT dan pastinya saya perlu mencorak taktikal yang lebih ampuh.”

Bagaimanapun, Mora sekali lagi kehilangan dua pemain pertahanan, Mauricio dan S Kunanlan kerana masih dibelenggu kecederaan.

“Mungkin Mauricio dan Kunanlan tidak dapat diturunkan menentang KL City, namun itu bukan bererti kami tidak mempunyai pemain yang mampu menggalas tugas kedua-dua pemain itu.

“Apa yang kami inginkan, kami mahu bangkit daripada kekalahan ke atas Terengganu kerana ia sudah beri pengajaran buat kami.”