Liga Super Malaysia Berita

Melaka United nafi mahu gantikan Zainal Abidin

Melaka United menafikan sudah mengadakan perbinca­ngan bersama beberapa jurulatih termasuk bekas jurulatih Felda, Nidzam Jamil dan bekas jurulatih Perak, Mehmet Durakovic bagi menggantikan Zai­nal Abidin Hassan dalam tempoh terdekat.

CEO Melaka United, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, tiada sebarang rundingan dibuat bersama mana-mana jurulatih buat masa sekarang kerana pihaknya masih menaruh kepercayaan terhadap Zainal.

Beliau bagaimanapun, mengakui terdapat lebih 10 permohonan daripada jurulatih luar yang menawarkan kemahiran mereka bagi membim­bing Melaka.

“Kami tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana jurulatih kerana kami mahu barisan kejurulatihan sedia ada mengekalkan momentum kemenangan.

“Namun memang ada jurulatih luar hantar resume, mereka menyatakan ada pendekatan tersendiri untuk membantu Melaka tetapi belum ada sebarang tindakan susulan,” katanya kepada Utusan.

Nidzam dikatakan menjadi calon utama untuk menjadi jurulatih baharu Melaka.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu menangguhkan perancangan seketika untuk menggantikan Zainal.

Melaka menduduki tangga ke-8 Liga Super selepas mengumpul 10 mata dalam 10 perlawanan.