Liga Super Malaysia Berita

Mora enggan JDT pandang rendah Terengganu

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menyifatkan lawannya, Terengganu adalah pasukan yang perlu diberi perhatian selepas prestasi cemerlang dipamerkan pemain-pemain muda di bawah kendalian Nafuzi Zain, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Baginya, mana-mana pasukan yang sering kali berdepan JDT, pasti mereka akan tampil dengan motivasi berbeza, menyebabkan mereka perlu berwaspada dan tidak boleh memandang rendah akan kemampuan lawan.

“Setiap pasukan yang berdepan JDT, keyakinan pasukan itu akan meningkat tanpa mengambil kira di mana kedudukan mereka di dalam liga buat masa sekarang ini.

“Jurulatih Nafuzi telah melakukan satu tugasan yang baik dengan pemain-pemain muda namun kami positif boleh meneruskan apa yang kami telah lakukan di Stadium Sultan Ibrahim,” katanya.

Musim lalu, pertemuan tunggal kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin memperlihatkan JDT menang tipis 1-0 menerusi gol awal yang dijaringkan Safawi Rasid pada minit-5.

Ini juga kali pertama Terengganu bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim kerana pertemuan terakhir di Johor adalah di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2019 dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Buat masa ini, JDT (23 mata) mempunyai kelebihan lima mata ke atas Terengganu FC (18 mata) dan tiga mata dalam perlawanan ini buat mana-mana pasukan pasti akan memberikan kesan kepada persaingan kejuaraan Liga Super.