Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui pemain boleh menyentuh pengadil perlawanan, namun dengan syarat.
Katanya, ia bergantung kepada niat dan situasi ketika itu dan bukan dengan tujuan provokasi atau menyebabkan kecederaan.
Malah katanya, tidak semua tindakan pemain menyentuh pengadil boleh dianggap sebagai kesalahan atau bertujuan membuat provokasi.
“Kita jangan lihat apabila ada sentuhan walaupun nampak kasar, sebenarnya bagi pengadil perlawanan ketika itu tiada apa yang berlaku,” katanya kepada Berita Harian.
“Jika terdapat insiden berkenaan, kami akan bertanya kepada pengadil berkenaan.
“Adakah ada unsur provokasi namun dia menjawab tiada cuma sentuhan terbabit untuk dapatkan penjelasan saja.
“Oleh itu, biarkan pengadil membuat keputusan dan dia akan tentukan sentuhan itu adakah kekerasan terhadapnya atau sebaliknya.”
Setakat ini, terdapat beberapa kes melibatkan pemain menyentuh atau menolak pengadil iaitu pemain Kelantan, Jack Hindle dan pemain JDT, Natxo Insa.
Pemain Kedah, Fadzrul Danel Mohd Nizam juga diberikan notis pertuduhan atas tindakannya menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin ketika pasukannya bertemuTerengganu di Stadium Darul Aman, pada 9 April lalu.
Bukan itu sahaja, pemain JDT, Gonzalo Cabrera pula didakwa menyentuh pengadil dalam perlawanan bertemu Pahang di Kuantan pada Jumaat lalu dan beliau dilayangkan kad kuning.
Bagaimanapun, Stuart berkata FAM hanya menerima enam aduan berkaitan mutu pengadil selepas 99 perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Katanya, aduan itu membabitkan lima dari Liga Super dan satu dari Liga Perdana.