Walaupun hanya menduduki tangga ke-7 Liga Super selepas mengharungi 7 perlawanan setakat ini, Oliver Buff yakin Selangor masih boleh mencabar kejuaraan liga.
Namun, pemain import Switzerland itu mengakui, Selangor perlu bersikap lebih realistik terhadap kemampuan pasukan pada tahun ini.
“Ya, kita boleh,” katanya kepada Football Tribe.
“Tetapi untuk mengatakan yang kita mahu menang liga tahun ini tidak realistik. Ini adalah pasukan baharu, boleh cabar tapi agak sukar untuk katakan tahun pertama sudah boleh menang liga.
“Saya rasa tahun pertama adalah masa kami cari rentak permainan yang sesuai di atas padang, serasi sebagai pasukan. Mungkin tahun kedua baru kita boleh cuba cabar kejuaraan liga.”
Buff yang merupakan salah seorang pemain import terbaru Selangor musim ini, menunjukkan aksi cemerlang apabila menjaringkan 4 gol dalam 7 perlawanan setakat ini.
Namun, disebalik prestasinya yang memberangsangkan, beliau mengakui Liga Malaysia merupakan liga yang amat kompetitif.
“Ia adalah liga yang sangat bagus, sebab sangat sukar untuk menang perlawanan, dalam beberapa perlawanan awal saya sudah cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan.
“Sudah tentu kami tidak bernasib baik apabila kehilangan mata, kadang-kadang kami kalah disebabkan pengadil. Cakap pasal pengadil, saya rasa pengadil di sini lebih teruk daripada mana-mana liga yang saya pernah beraksi sebelum ini. Saya tak tahu kenapa.”