Liga Super Malaysia Berita

Perak bangkit dari ketinggalan, PJ City jaringkan gol saat akhir

Perak bangkit dari ketinggalan apabila menewaskan UiTM 3-2 dalam saingan Liga Super di Ipoh.

UiTM mendahului menerusi Nana Poku hasil sepakan penalti pada minit ke-20 sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-40.

Perak bagaimanapun sempat merapatkan jurang di penghujung separuh masa pertama menerusi jaringan Careca.

Guilherme De Paula menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-69 selepas Leandro Dos Santos dijatuhkan dalam kotak penalti.

Careca menjadi wira Perak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 selepas tendangannya gagal diselamatkan oleh penjaga gol UiTM, Muhammad Azfar.

Perak kini menduduki di tangga ke-8 dengan 8 mata selepas 7 perlawanan, manakala UiTM kekal sebagai pasukan tercorot Liga Super apabila sekadar meraih 1 mata setakat ini selepas mencatatkan 6 kekalahan.

Di ibu kota, hasrat KL City meraih tiga mata penuh tidak kesampaian apabila terikat seri 2-2 dengan PJ City.

PJ City mendahului menerusi gol sendiri apabila bola hantaran Mahali Jasuli terkena badan Irfan Zakaria lalu terpantul melepasi penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza pada minit ke-50.

Namun, hanya tiga minit perlawanan bermula semula, KL City berjaya menyamakan kedudukan menerusi Paulo Josue yang tidak dikawal oleh pertahanan PJ City.

Gol itu seolah-olah memberi semangat kepada KL City apabila berjaya menambah gol kedua hasil tendangan Hadin Azman dari luar kotak penalti pada minit ke-57.

Kedudukan 2-1 kekal hingga ke masa tambahan, namun KL City akhirnya tewas dengan tekanan dari PJ City apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi R Kogileswaran dengan sepakan deras membolosi di bahagian atas gawang gol.

Keputusan itu menyebabkan PJ City berada di tangga ke-5 dengan 10 mata manakala KL City berada di tangga ke-6 dengan 9 mata.