Liga Super Malaysia Berita

Melaka United kini ada pemilik baharu

Melaka United secara rasminya diambil alih oleh syarikat pengeluar sarung tangan, Kenteam Sdn Bhd yang diterajui oleh Datuk Seri Justin Lim.

Pengambilalihan itu dibuat menerusi pembelian 70 peratus saham, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar dan pemilik baharu pasukan Liga Super itu.

Ini bermakna, Melaka United akan memperoleh barisan pengurusan baharu dan mendapat suntikan dana baharu bagi meneruskan operasi pasukan bermula musim 2021.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Melaka United Football Club Sdn Bhd dan KenTeam Sdn Bhd, hari ini.

Majlis dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Pengerusi Melaka United Football Club Sdn Bhd dengan perjanjian ditandatangani antara CEO Melaka United, Datuk Mohd Saiful Md Sapri dan KenTeam Sdn Bhd diwakili Datuk Seri Justin Lim.

Turut hadir Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Pengerusi KenTEAM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Justin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana memberikan peluang kepada pihaknya membantu menaikkan imej bolasepak negeri Melaka.

Beliau berhasrat untuk mengambil alih selepas menilai potensi Melaka United sebagai salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan liga bolasepak teratas Malaysia yang berpotensi menjadi sebuah kelab bolasepak yang disegani dan terkemuka di negara ini.

“Kami mempunyai banyak rancangan untuk mengembalikan kegemilangan Melaka United,” kata Justin kepada Harian Metro.

“Kita akan pastikan pasukan berada di tahap terbaik serta perbaiki kelemahan yang ada.

“Menerusi perjanjian ini, kami memiliki 70 peratus saham MUFC manakala selebihnya adalah membabitkan Persatuan Bolasepak Melaka.”

Kehadiran pemilik baharu itu disambut baik oleh CEO Melaka United, Datuk Mohd Saiful Md Sapri yang berpendapat pihaknya dapat memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi masalah melibatkan tunggakan gaji terutama selepas pengambilalihan tersebut.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama Justin untuk melihat struktur kewangan Melaka United sepanjang musim ini.

“Setakat ini, kami tidak pernah menghadapi masalah tunggakan gaji pada musim 2021, semuanya kita bayar mengikut masa ditetapkan sekali gus pemain atau pihak tertentu tidak boleh kata kita gagal berbuat demikian.”