Liga Super Malaysia Berita

MB Perak jawab isu tunggakan gaji

Datuk Saarani Mohamad mengakui pasukan bola sepak Perak berdepan tunggakan gaji sejak beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau menganggap kerajaan negeri sudah membantu sedaya boleh untuk membantu membayar tunggakan gaji tersebut, termasuklah mendapatkan dana dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tidak betul jika kata kerajaan negeri langsung tidak membantu,” katanya kepada Astro Awani.

“Apabila saya mengambil alih jawatan Menteri Besar pada 10 Disember lalu, waktu itu mereka telah tertunggak bayaran kepada para pemain selama dua bulan. Saya telah mengambil inisiatif untuk memujuk beberapa GLC untuk membayar gaji.

“Sebenarnya, itu bukan tanggungjawab saya, tetapi, saya telah membayar menggunakan GLC untuk dua bulan tunggakan. Selepas itu, saya difahamkan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) letak jawatan.

“Kita sudah bantu kira-kira RM4 juta. Dulu saya bantu RM2.5juta untuk tertunggak dua bulan, dan baru-baru ini lagi RM1.5 juta. Jadi, tidak adil untuk kata kerajaan negeri tak membantu.”

Pada masa sama, Saarani menjelaskan beliau bukannya tidak mahu membantu tetapi menganggap dana kerajaan negeri tidak seharusnya digunakan untuk membayar gaji pemain.

“Kalau kata bola sepak memerlukan RM2 juta sebulan, takkan nilai ini anda letakkan kepada kerajaan negeri untuk menanggungnya. Ini tidak adil.

“Sebab, ia duit rakyat, bukan duit PAFA atau pungutan tiket. Duit cukai ini saya perlu bagi balik kepada rakyat.”