Liga Super Malaysia Berita

Sabah juga hadapi masalah tunggakan gaji?

Sabah menjadi pasukan Liga Super terbaru yang didakwa menghadapi masalah tunggakan gaji ketika ini.

Menurut beberapa sumber, barisan pemain masih belum mendapat gaji sejak tiga bulan lalu, malah jurulatih pasukan, Kurniawan Dwi Yulianto turut menghadapi masalah tersebut.

Keadaan bertambah buruk apabila seorang peminat Sabah bernama Azharruhaizad mendedahkan, para pemain bertindak pulang beramai-ramai walaupun baru sahaja tiba untuk menjalani sesi latihan pada pukul 4 petang tadi.

Ini merupakan kali pertama Sabah didakwa menghadapi masalah gaji pada musim ini, selepas Perak.

Perkara ini juga berlaku beberapa bulan selepas Bung Moktar dilantik sebagai pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada 13 Disember lalu.

Namun, status kewangan Sabah menjadi tanda tanya selepas Datuk Verdon Bahanda meletakkan jawatan sebagai CEO Sabah Football Club pada 21 Disember.

Prestasi Sabah juga kurang memberangsangkan apabila sekadar menduduki tangga ke-10 liga dengan mengumpulkan 5 mata dalam 7 perlawanan, mencatatkan satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan.

Sama seperti Perak, jika benar dakwaan tersebut, Sabah juga sepatutnya dikenakan pemotongan tiga mata secara automatik kerana gagal melunaskan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Tiada alasan lagi buat mana-mana pasukan Liga Malaysia terlepas dari tindakan yang sewajarnya.