Liga Super Malaysia Berita

FAM: Kes Natxo Insa diputuskan lebih cepat berbanding kes pemain lain

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kes melibatkan Natxo Insa dibincangkan lebih cepat berbanding kes yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini.

Ini selepas pemain JDT itu bertindak menyerbu dan menolak pegawai perlawanan Noor Azriel Baharudin sejurus tamat aksi Liga Super menentang Perak pada 21 Mac lepas.

Namun, FAM dianggap mengambil tempoh terlalu lama untuk menjatuhkan hukuman tatkala mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Rabu lepas telah menjatuhkan hukuman kepada beberapa pemain termasuk penyerang import Kelantan, Jack Hindle yang didapati menolak pengadil secara agresif pada aksi Liga Premier.

“Kalau kita tengok empat kes sebelum ini, kita mengambil masa dalam lingkungan 13 ke 18 hari sebelum dibincangkan dalam Jawatankuasa Tatatertib,” katanya kepada Bernama.

“Tetapi untuk kes Natxo, hanya 11 hari daripada insiden berlaku sebelum dibawa ke jawatankuasa itu.

“Kes Natxo pun berlaku tiga hari sebelum persidangan pertama Jawatankuasa Tatatertib. Jadi kita perlu mengikut proses perundangan dan memberi ruang secukupnya kepada pemain untuk membela diri.”

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga memberi jaminan kes Natxo diputuskan secara adil pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib itu, esok.

Katanya, tiada istilah pilih kasih dalam kes tersebut memandangkan jawatankuasa tersebut dibarisi ahli jawatankuasa berpengalaman dan profesional yang dipimpin pengerusinya Datuk Baljit Singh Sidhu.

“Tidak perlu risau, saya yakin dengan kepimpinan Datuk Baljit dan barisan jawatankuasa beliau kerana semua individu itu berwibawa. Keputusan akan dibuat secara adil.”