Liga Super Malaysia Berita

Mora akui JDT masih belum di tahap 100 peratus

Walaupun JDT berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini, namun ketua jurulatihnya Benjamin Mora masih belum benar-benar berpuas hati.

Ini selepas JDT menewaskan Kedah 2-0 dalam Piala Sumbangsih sekali gus meraih tiga mata pertama.

Bagaimanapun, Mora akui pasukan kendaliannya menghadapi kesukaran dan bergelut untuk menembusi benteng Kedah.

“Saya akui kami belum berada di tahap 100 peratus namun kemenangan pertama dan mengekalkan Piala Sumbangsih empat musim berturut-turut adalah permulaan yang cukup membanggakan. Malah ia akan beri motivasi tinggi setiap pemain.

“Bukan mudah untuk tewaskan Kedah yang memiliki kekuatan tersendiri tapi kami membuat persiapan rapi dan turun dengan pemain lebih tersusun dan setiap pemain tahu tugas harus mereka lakukan malah kurang membuat kesilapan yang membolehkan pasukan lawan ambil kesempatan.”

Pada masa sama, Mora menganggap JDT mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi beliau agak terkejut dengan strategi pasukan Kedah.

“Kami tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol awal selepas percubaan Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera terkena palang gol dan ia cetus lebih keyakinan kepada pemain untuk terus beri tekanan dan hasilnya gol terhasil pada separuh masa pertama.

“Namun formasi Kedah berubah apabila turun bukan dengan formasi 4-4-2, sebaliknya mereka beraksi dengan corak 4-2-3-1 dan kemudian berubah formasi ke 4-1-2-3 apabila Rabih Ataya bergerak di posisi sayap dan tengah.”

Mora juga mengakui barisan pemainnya tidak beraksi dengan corak permainan yang menarik namun berharap JDT akan kembali konsisten dalam perlawanan-perlawanan akan datang.