Liga Super Malaysia Berita

Prestasi Safawi Rasid meningkat selepas berkelana ke Portugal

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menganggap prestasi Safawi Rasid semakin meningkat selepas bersama kelab bola sepak Portugal, Portimonense SC walaupun hanya selama tiga bulan pada tahun lalu.

Ini selepas Safawi menjaringkan gol pertama ketika JDT menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan Piala Sumbangsih dan saingan Liga Super musim ini.

“Jika Safawi tidak meningkat selepas berlatih di Portugal, maka itu hanyalah membuang masa,” katanya kepada Bernama.

“Beliau berpeluang untuk ke tempat lain bagi melihat sendiri bagaimana latihan dan kehendak yang perlu dipenuhi, saya rasa beliau tahu apa yang perlu dibuat.

“Beliau sering melakukan kelainan dengan sepakan percuma, penalti dan sepakan untuk jaringan gol. Bagi saya Safawi seorang pemain hebat dan aset penting JDT. Syukur kami mendapat beliau kembali dan membantu kami untuk menang dan terbukti, beliau bermain dengan baik.”

Safawi berpindah ke Portimonense pada bulan Oktober lepas tetapi tidak berpeluang untuk melakukan sebarang penampilan di Liga Portugal dan hanya memanaskan bangku simpanan pasukan dibawah kendalian jurulatih Paulo Sergio.

Beliau hanya diturunkan buat kali pertama dalam pasukan Portimonense SC B-23 ketika tewas 3-1 kepada Sporting Lisbon dalam pertandingan Liga Portugal B-23.