Liga Super Malaysia Berita

Kelantan: FAM belum buat keputusan, Subkhiddin kata Jack Hindle patut dapat kad merah

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung tindakan penyerang pasukan Kelantan, Jack Hindle menolak pengadil, Amirul Aizat Mohd Lodin ketika pasukan Pantai Timur itu tewas 1-0 kepada Perak II.

Beliau sebaliknya berkata, FAM akan meneliti laporan daripada penilai pengadil dan pengadil perlawanan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Malah, katanya FAM akan membuat penilaian dari dua aspek selepas menerima laporan daripada penilai pengadil serta meneliti rakaman video.

“Bagi aspek pertama, FAM akan meneliti persembahan dan prestasi pengadil sepanjang perlawanan itu,” katanya kepada BH.

“Manakala aspek kedua mengenai tindakan pemain terbabit yang menolak pengadil.

“Berdasarkan perincian laporan, ia boleh dibawa ke Jawatankuasa Pengadil dan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya, jika perlu. Selepas itu semua itu selesai, barulah FAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden ini.”

Insiden tersebut dianggap lucu dan aneh, dengan rata-rata peminat menganggap pengadil itu menghalang peluang Hindle untuk menjaringkan gol.

Malah, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat Hindle perlu dikenakan kad merah kerana kekasaran yang dilakukannya.

Namun, beliau mengakui pengadil berkenaan berada pada posisi yang salah.

“Pengadil salah posisi, itu tak salah dari segi undang-undang. Tapi pemain, bila anda tidak dapat menahan emosi dan kelakuan, undang-undang akan ambil tindakan. Ini di bawah klausa kelakuan ganas.”