Kenyataan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang terbaru memberi bayangan bahawa beliau berminat untuk mengambil alih pasukan kelab La Liga, Valencia.
Walaupun spekulasi ini bukanlah perkara baharu memandangkan TMJ sudah pun menunjukkan minatnya sejak beberapa tahun lalu, tetapi kenyataannya yang terbaru menguatkan lagi spekulasi tersebut.
“Saya bukan baru dalam bola sepak,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.
“Saya telah mencipta sebuah kelab dari bergelut dengan penyingkiran sehingga menjadi pasukan juara yang mendominasi. Saya telah memenangi 16 kejuaraan dalam lapan tahun. Kami pasukan terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di Asia.
“Saya bukanlah seseorang yang akan mengubah logo atau tradisi kelab anda. Saya seorang kerabat diraja dan bukannya ahli perniagaan. Saya ke sini untuk kegemilangan, kejayaan dan sejarah.
“Apa yang diperlukan Valencia? Anda memerlukan seseorang yang tahu mengenai bola sepak, mahukan kejayaan, berminat dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab.”
Malah, TMJ turut mendedahkan bahawa beliau memiliki “dua hari untuk memikirkannya”, walaupun tidak memberitahu sama ada ia adalah berkaitan dengan pengambilalihan pasukan Valencia.
Bagaimanapun, pengambilalihan itu bukanlah murah kerana Valencia kini dilaporkan bernilai sekitar €408 juta euro.
Namun begitu, Valencia berdepan dengan krisis kewangan ekoran pandemik Covid-19, sehingga menjual beberapa pemain ternama. Itu juga merupakan salah satu sebab pasukan itu bergelut dan hanya menduduki tangga ke-14 musim ini.
Jika TMJ benar-benar bersetuju untuk mengambil alih pasukan itu dari pemiliknya, Peter Lim, TMJ akan menjadi individu Malaysia ketiga yang memiliki kelab bola sepak Eropah selepas Vincent Tan (Cardiff City) dan Tony Fernandes (QPR).