Luar Negara Berita

Wan Kuzain berkelana ke Texas, sertai Rio Grande Valley Toros

Status Wan Kuzain Wan Kamal akhirnya terjawab apabila beliau diumumkan menyertai kelab Rio Grande Valley FC Toros yang terletak di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Ini sekali gus menangkis sebarang dakwaan bahawa beliau akan menyertai pasukan Liga Malaysia pada musim ini dan akan terus kekal beraksi di AS.

Pemain berusia 22 tahun itu akan beraksi dalam saingan USL Championship, liga bola sepak kedua tertinggi di AS selepas Major League Soccer.

Ini bermakna, Wan Kuzain berpindah lebih 1,000km daripada pasukan lamanya, Sporting Kansas City.

Rio Grande Valley juga terletak kira-kira 20km daripada sempadan antara AS dan Mexico.

Pasukan Rio Grande merupakan pasukan feeder kepada kelab MLS, Houston Dynamo.

Justeru, Wan Kuzain mempunyai peluang untuk beraksi kembali dalam saingan MLS sama seperti ketika beliau mewakili Swope Park Rangers (kini Sporting Kansas II) yang merupakan pasukan feeder kepada Sporting Kansas.