Kuala Lumpur United meraih sedikit motivasi dan semangat baharu apabila muncul juara Piala Prihatin dengan menewaskan Selangor 4-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah perlawanan berakhir tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Cheras, malam tadi.
Kevin Ray Mendoza menjadi wira KL apabila penjaga gol import itu apabila berjaya menepis sepakan penalti pemain import Selangor, Oliver Buff.
Seorang lagi pemain import Selangor, Manuel Konrad gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus memberi peluang kepada pemain veteran KL, Indra Putra Mahayuddin yang menghadiahkan kemenangan buat pasukannya.
Pada permulaan perlawanan, gandingan penyerang baharu Selangor iaitu Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ifedayo Olesegun dilihat cukup bertenaga namun tidak bertahan lama apabila bekas penyerang Perak itu terpaksa digantikan tidak sampai minit ke-10 akibat kecederaan paha.
Penyerang baharu KL, Dominique Da Sylva turut mendapat dua peluang cerah di hadapan gawang namun gagal menyudahkannya dengan baik.
Aksi di separuh masa kedua lebih rancak namun kedua-dua pasukan hanya dapat menghasilkan empat percubaan tepat sehinggalah wisel penamat.
“Ini kali pertama kesebelasan utama beraksi sepanjang 90 minit,” kata jurulatih KL, Bojan Hodak kepada Astro Arena.
“Kami masih perlu bentuk kesefahaman dan dalam babak kedua, kami mencipta banyak peluang.
“Walaupun menang dengan sepakan penalti, ia masih dikira sebagai kemenangan.
“Kami tidak bolos walaupun ada beberapa situasi yang kami tidak dapat baca dengan baik.
“Selepas 10 hari mengadakan persiapan, ini sesuatu yang dijangkakan.”
Jurulatih Selangor, Karsten Neitzel menganggap Selangor bermain dengan baik cuma masih berdepan dengan masalah keserasian dan penyudah di depan gol.
“Kami ada peluang tapi tidak berjaya meledak gol.
“Ramai pemain yang sudah lama tidak beraksi selama 90 minit. Kedua-dua pasukan memulakan persediaan agak lewat.”