Liga Super Malaysia Berita

MFL jalin kerjasama dengan Genius, sediakan statistik perlawanan siaran langsung Liga Malaysia 2021

MFL telah menjalin kerjasama dengan Genius Sports Group (GSG atau Genius) menerusi perkongsian data siaran langsung dan integriti baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Genius Sports akan menyediakan platform pengumpulan dan pengedaran data siaran langsung kepada MFL buat kali pertama pada musim 2021.

“Statistik perlawanan siaran langsung akan digunakan untuk memberikan sisi pandangan baharu kepada peminat bola sepak Malaysia melalui perkhidmatan Penerbitan Media Sosial automatik, Widget siaran langsung dan platform media MFL yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Dalam setiap perlawanan Liga Super dan pusingan kalah mati saingan Piala Malaysia, GSG telah bersetuju untuk melantik jurustatistik yang bertauliah bagi menggunakan Football LiveStats untuk merekod segala statistik pasukan dan pemain termasuk lokasi rembatan, bantuan jaringan gol serta kad dengan penjelasan lebih terperinci.

MFL juga telah melancarkan program integriti baharu yang komprehensif untuk melindungi keharmonian Liga Malaysia daripada ancaman gejala mengatur perlawanan dan rasuah yang berkaitan dengan pertaruhan.

Platform yang dipanggil Sistem Pemantauan Pertaruhan GSG, Bengkel Integriti dan Perkhidmatan Audit Integriti bakal menyediakan MFL dengan teknologi baharu dalam sukan dunia untuk mengenalpasti, mencegah dan memerangi sebarang ancaman terhadap ketelusan dan keadilan perlawanan Liga Malaysia.

“Kami menyambut baik kerjasama dengan Genius Sports, sebuah syarikat data sukan dan teknologi yang menyediakan data secara langsung di seluruh siaran, media sosial dan aplikasi bola sepak Malaysia iaitu Shoot! di mana prapelancaran aplikasi itu bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

“Dengan data siaran langsung yang mudah diperolehi dalam format digital, ia pasti akan meningkatkan pengalaman peminat serta pengetahuan mereka mengenai perlawanan semasa ia berlangsung di mana kami yakin dapat memperluaskan dimensi pertandingan, pemain, pasukan dan sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia.

Pengurus Kanan Perkongsian Komersial untuk Asia di Genius Sports, Mohamed Feizel berkata, data dan statistik siaran langsung penting buat peminat masa kini, terutama dengan sebahagian besar bola sepak dunia masih dimainkan secara tertutup.

“Dengan kerjasama bersama MFL, kami akan memberikan statistik yang terkini dan menarik kepada peminat mereka sebelum, semasa dan selepas setiap perlawanan sambil menyediakan platform untuk memperluaskan imej Liga Malaysia secara global.”