Liga Super Malaysia Berita

Kuala Lumpur United jalin kerjasama eksklusif dengan Astro

Kuala Lumpur United FC hari ini mengumumkan kerjasama bersama Astro sebagai penyiar rasmi pasukan.

Malah, majlis pengenalan pasukan musim 2021 yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras disiarkan secara langsung oleh Astro Arena.

Kerjasama itu menyaksikan Astro akan menerbitkan siri dokumentari mengenai Kuala Lumpur seperti persiapan, sesi mesyuarat pasukan dan situasi di bilik persalinan.

Bukan itu sahaja, kerjasama itu membolehkan sebuah perlawanan pra-musim diadakan dengan Selangor bagi merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan, juga dikenali sebagai Piala Prihatin.

Perlawanan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro 825, dari jam 8.00 malam pada 27 Februari depan.

Bagi pelanggan bukan pakej sukan Astro pula boleh menontonnya dengan membeli pas bernilai RM2.99

Hasil kutipan perlawanan itu membabitkan penajaan akan disalurkan untuk tujuan kebajikan.

“Peminat bola sepak Malaysia amat bersemangat,” kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay.

“Kita tidak pernah menyaksikan kandungan eksklusif seperti di belakang tabir, bilik persalinan, mesyuarat bersama barisan pemain dan jurulatih, itulah yang mahu ditonton oleh peminat kita.

“Selain itu, Astro juga akan menyiarkan sebuah perlawanan ‘derby’ istimewa di gelanggang berkecuali.

“Kami berharap kerjasama ini akan memberikan kandungan bermakna buat peminat bola sepak.”

Perjanjian itu ditandatangani oleh CEO KL United, Stanley Bernard.

Turut hadir Presiden KLFA, Khalid Samad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.