Liga Super Malaysia Berita

Jadual Liga Super 2021: JDT jumpa Selangor dan Perak bulan depan

MFL baru sahaja mengumumkan jadual rasmi Liga Malaysia 2021, kira-kira dua minggu sebelum sepak mula pada 5 Mac ini.

Perlawanan pembuka tirai sudah tentu adalah Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang akan menemukan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, JDT selaku juara bertahan bakal berdepan cabaran apabila akan bertemu dengan beberapa pasukan yang mampu memberi cabaran kepada mereka.

Pasukan Harimau Selatan itu akan bertemu Pulau Pinang pada 9 Mac, UiTM (13 Mac) sebelum bertemu Selangor di tempat sendiri pada 17 Mac dan Perak di tempat lawan pada 21 Mac.

Perlawanan ke-11 liga akan bermula pada 18 Mei dan 19 Mei memandangkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 13 dan 14 Mei.

Saingan liga tidak akan diadakan sepanjang bulan Jun bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan yang akan menempuhi tiga perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Liga akan bersambung semula pada 2 Julai.

Perlawanan terakhir liga iaitu perlawanan ke-22 dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos, yang turut melibatkan pertemuan antara JDT dan KL.