Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mengakui logo baharu yang diperkenalkan baru-baru ini akan tetap digunakan meskipun mendapat tentangan peminat.
Logo baharu Perak itu menggunakan rekaan seekor seladang putih di atas lapisan hitam dengan bingkai berwarna kuning.
“Kita akui penyokong ada hak untuk mengeluarkan apa jua pandangan, kritikan dan cadangan tentang logo itu. Kita terima dengan hati yang terbuka,” katanya kepada Bernama.
“Cuma apa yang saya boleh maklumkan keputusan untuk menggunakan logo itu kekal setakat ini. Ini bukan kehendak saya tetapi ia telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi yang menerajui persatuan sebelum ini.”
Bagaimanapun, Yadzan berkata sebarang cadangan untuk mengubah rekaan logo akan dipertimbangkan oleh pihak persatuan.
“Kita akan pertimbangkan perkara ini cuma saya minta para penyokong bersabar sebab kita ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan terlebih dahulu terutama membabitkan proses penswastaan dan pemisahan antara kelab bola sepak (FC) dan persatuan bola sepak (FA).”
Dalam soal tunggakan gaji bernilai RM3.8 juta sejak November lepas, Yadzan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenainya dengan pimpinan kerajaan negeri minggu lepas.
“Kita yakin kerajaan negeri akan bantu dalam perkara ini dan setakat ini juga semua pemain memahami situasi yang berlaku dan bagi saya sendiri, saya harap mereka bersabar dan pasti kita akan selesaikan sebelum sepak mula liga.”