Luar Negara Berita

Luqman Hakim: Saya yang nak tukar nombor jersi, bukan KV Kortrijk

Luqman Hakim Shamsudin mengakui tidak berkecil hati walaupun nombor jersinya ditukar.

Ini selepas jersi nombor 9 milik Luqman telah diserahkan kepada Teddy Chevalier, legenda KV Kortrijk yang baru sahaja kembali menyertai pasukannya semula.

Namun Luqman berkata pertukaran nombor jersi itu bukanlah keputusan daripada pengurusan kelab, sebaliknya, beliau sendiri yang mahu menyerahkan nombor jersi itu kepada Chevalier.

“Memang ada tukar dengan Teddy iaitu legenda KV Kortrijk,” katanya kepada Berita Harian.

“Bukan pengurusan kelab yang tukar, tapi kami sendiri yang sepakat buat keputusan ini.

“Saya pun kurang bermain, jadi apa salahnya saya bagi penghormatan pada dia sebab dia pun sudah lama dengan KV Kortrijk selain menjadi penjaring gol terbanyak. Jadi saya bagi penghormatan pada dia.

“Dia pun minta kebenaran saya nak tukar sebab nombor itu sebelum ini nombor keramat dia di KV Kortrijk. Saya pun muda lagi, tak kisahlah pakai nombor berapa pun.

“Benda ini tak jadi masalah, tiada nak risau apa, hanya tukar nombor sahaja. Cuma segelintir rakyat Malaysia yang buat jadi masalah sampai ada yang pergi tanya dekat KV Kortrijk.”

Luqman kini memakai jersi nombor 99.