Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United akui sukar cari tajaan, penaja kurang yakin dengan pulangan

Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman mengakui pasukannya sukar mendapat tajaan baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kebanyakan syarikat tidak berani untuk memberikan tajaan kerana tidak yakin dengan pulangan diperolehi terutamanya dari segi promosi kepada penonton.

Malah, Zul menganggap ia turut dihadapi pasukan lain dalam Liga Malaysia.

“Kesukaran ini menjadikan kerisauan kepada kami, malah turut dihadapi oleh kebanyakan pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Katanya lagi, kesukaran mendapatkan penaja juga adalah disebabkan Liga Malaysia ditunda pada bulan Mac, malah pasukan tidak dibenarkan berlatih buat masa ini.

“Jika ditangguhkan ia akan memberikan kesan, terutamanya melibatkan pembayaran gaji pemain memandangkan pasukan telah menandatangani kontrak pemain.

“Ketika ini kami hanya bergantung kepada sumber kewangan simpanan untuk membayar gaji pemain bagi bulan pertama musim ini.”

“Harap liga tidak ditangguhkan sebab ia melibatkan punca mata pencarian pegawai dan pemain pasukan bagi menyara keluarga dan membayar komitmen bulanan.

Justeru, Zul berpendapat kerajaan perlu membenarkan kehadiran penyokong ke stadium bagi meringankan bebanan kewangan yang perlu ditanggung oleh pasukan Liga Malaysia.

“Perlu ada kajian prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan kehadiran penyokong… contohnya ada penjarakan fizikal di stadium dan kawalan kemasukan penonton melalui pintu masuk.”