Liga Super Malaysia Berita

FAM tolak rayuan, tak boleh lantik jurulatih tiada lesen Pro AFC

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa pihak Jawatankuasa Pelesenan Kelab FAM (FIP) membuat keputusan untuk menolak rayuan tiga pasukan yang mahu melantik jurulatih yang tidak ada lesen kejurulatihan Pro AFC.

Tiga pasukan itu adalah pasukan Sabah (Jelius Ating), Kuala Lumpur (Nidzam Adzha Yusoff) dan Pulau Pinang (Manzoor Azwira).

Kata Stuart, keputusan itu dibuat atas dasar polisi yang telah pun ditetapkan oleh FAM selama ini.

“Apa yang saya boleh laporkan di sini adalah Jawatankuasa Pelesenan Kelab atau FIP telah mengambil keputusan untuk menolak kesemua rayuan jurulatih, penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan, seperti yang terkandung dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM,” katanya kepada Astro Arena.

“Bukan sekadar itu, polisi dan prinsipnya sudah ada dan di sini, kami tidak boleh berpatah balik daripada peraturan sedia ada.

“Dan dengan isu yang berbangkit daripada COVID-19, kami tidak boleh menggunakan elemen tersebut kerana jika menggunakan alasan tersebut, kami perlu memberikan lebih penjelasan kepada pihak-pihak lain.”

Ini bermakna Kuala Lumpur, Sabah dan Pulau Pinang perlu melantik jurulatih baharu untuk musim depan.