Liga Super Malaysia Berita

Terengganu lepaskan semua pemain import

Terengganu dilaporkan tidak menawarkan kontrak baharu kepada kelima-lima pemain importnya, meskipun akan menghadapi saingan Liga Super dan Piala AFC musim depan.

Ini bermakna Sanjar Shaakhmedov dan Babacar Diallo mengikut jejak langkah Faris Ramli, Lee Tuck dan Dominique da Sylva yang telah meninggalkan pasukan secara rasmi.

Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata keputusan itu dibuat kerana faktor kewangan, walaupun masih lagi berminat untuk kekalkan Lee Tuck dan Shaakhmedov.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan juga jurulatih berhubung perkara itu,” katanya kepada Harian Metro.

“Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah mengenai perancangan pasukan dan juga faktor kewangan.

“Berkenaan Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov, sebenarnya kita masih lagi berminat untuk mendapatkan khidmat mereka, tapi disebabkan kekangan kewangan kita terpaksa melepaskan mereka.

“Ini kerana musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus, sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul.”

Setakat ini, Lee Tuck dilaporkan akan menyertai Pahang namun status empat lagi pemain import Terengganu masih belum diketahui.

Malah, Terengganu masih belum mengumumkan senarai pemain import baharu.