Berita AFC Champions League

JDT pun tidak dibenarkan sertai AFC Champions League di Doha

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan Johor Darul Ta’zim tidak dibenarkan menyambung saingan AFC Champions League di Doha, Qatar minggu depan.

Kenyataan itu dibuat selepas Piala Malaysia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, walaupun hampir pasti pertandingan itu akan dibatalkan.

Boleh difahami jika Piala Malaysia dibatalkan atas banyak faktor tertentu, tetapi tidak memberikan kebenaran kepada JDT juga untuk terbang ke luar negara adalah sesuatu yang aneh.

“Polisi kita masih sama,” kata Ismail dalam sidang media harian hari ini.

“Pintu sempadan kita masih ditutup. Maknanya, warga asing tidak dibenarkan masuk, dan rakyat kita tidak dibenarkan keluar.

“Polisi ini meliputi semua termasuk pasukan bola, iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti ini ke luar negara, kita tidak tahu SOP yang ada di negara tersebut.

“Kita tidak benarkan atas alasan tertakluk kepada polisi sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan keluar negara.”

Ismail juga memberikan alasan bahawa semua barisan menteri pun tidak dibenarkan ke luar negara.

“Semua tidak dibenarkan, menteri-menteri sekali pun sebenarnya yang mempunyai persidangan yang penting, tidak dapat dilakukan kerana menteri-menteri tidak dibenarkan ke luar negara.

“Jadi dalam kes bola sepak ini, kita juga tidak membenarkan bagi menjamin keselamatan pemain-pemain kita kalau mereka ke luar negara yang kita tak tahu bagaimana SOP yang ditetapkan oleh negara itu.”

“Tapi yang pentingnya adalah kerana SOP kita tidak membenarkan rakyat kita ke luar negara.

“Jadi, untuk pasukan kita ke Doha, kita tidak benarkan.”

Apakah reaksi JDT dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam perkara ini?

Juga apakah reaksi AFC apabila ada pasukan di bawah naungannya tidak dibenarkan bersaing?