Liga Super Malaysia Berita

Piala Malaysia terpaksa diteruskan tanpa Sabah

Malaysian Football League (MFL) terpaksa membuat keputusan sukar apabila TM Piala Malaysia 2020 akan diteruskan bermula 6 Nov ini tanpa penglibatan pasukan Sabah.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu terpaksa diambil selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan laluan khas pasukan Sabah ke Semenanjung untuk melengkapkan perlawanan Liga Super menentang UiTM pada 31 Okt serta Piala Malaysia.

Malah, mereka tidak mendapat pelepasan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Nov ini.

“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan CIMB Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan, jadi pasukan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0,” kata Ghani.

“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di Pusingan Pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan Suku Akhir.

“Pasukan Sabah adalah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan Sabah kerana isu ini.”

Justeru, UiTM FC telah diberikan kemenangan 3-0 namun Sabah tidak akan dikenakan apa-apa tindakan berikutan keadaan berlaku tanpa kawalan.

Ini bermakna saingan Liga Super berakhir musim ini dan Sabah juga tidak akan beraksi lagi dalam apa jua perlawanan kompetitif pada tahun ini.

Format TM Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 CIMB Liga Super, 5 Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.