Liga Super Malaysia Berita

FAM, AFC bantu jurulatih tempatan dapatkan Lesen Pro A

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya akan membuat pertemuan dengan AFC berhubung isu lesen kejurulatihan yang perlu dimiliki jurulatih yang mengendalikan Liga Super.

Ini selepas jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha dan jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira tidak mempunyai lesen Pro A sekali gus tidak layak untuk mengendalikan pasukan di peringkat Liga Super.

Stuart berkata, pertemuan dengan AFC adalah bagi mendapatkan khidmat nasihat bagi membantu memudahkan jurulatih-jurulatih memiliki lesen tersebut.

“Seperti yang kita pernah katakan sebelum ini, FAM akan akan berunding dengan AFC dan seterusnya mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

“Khidmat nasihat ini kita rasakan perlu terutamanya dalam tahun dan keadaan yang agak luar biasa hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya bersedia berunding untuk membantu jurulatih mendapatkan Lesen Pro A kerana perkara itu termaktub dalam pelesenan kelab iaitu Recognition of Coaching Competence (RECC).

Katanya, semua jurulatih yang masih belum memiliki lesen itu boleh membuat permohonan kepada AFC menerusi FAM untuk dipertimbangkan, namun hanya kelonggaran sementara kerana jurulatih masih perlu mengikuti kursus lesen tersebut.