Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui pasukannya cukup terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilakukan di seluruh negeri itu bagi mengekang penularan COVID-19.
Bukan sahaja tidak dibenarkan berlatih, permohonan khas juga telah ditolak oleh kerajaan negeri.
“Kami dalam keadaan bermasalah di mana latihan tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri akibat prosedur operasi standard (SOP) PKPB,” katanya kepada Bernama.
“Pemain kami berlatih sendiri setiap hari. Pegawai pasukan akan menyediakan barisan pemain dengan jadual latihan masing-masing pada setiap hari dan mereka akan berlatih sendiri.
“Disebabkan ada sekatan, mereka terpaksa berlari di kawasan tempat letak kereta bersendirian dengan kekurangan peralatan latihan.”
Kurniawan berkata, pihak pengurusan pasukannya akan membuat permohonan sekali lagi kepada kerajaan negeri bagi sesi latihan khas sebagai persediaan aksi terakhir Liga Super menentang UiTM FC pada 31 Oktober ini dan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6 November.
“Jika ini tidak diluluskan juga, kami akan terus berlatih secara individu sehingga kami pergi ke Semenanjung pada 29 Oktober untuk perlawanan kami. Kami akan memaksimumkan latihan kami di sana.
“Buat masa ini, kami sedang mencari stadium yang boleh kami gunakan untuk latihan di Semenanjung sebaik tiba di sana.”
Pasukan Sabah juga tidak dibenarkan merentas ke Semenanjung sebelum 29 Oktober kerana ujian COVID-19 memaksa mereka dikuarantin lima hari sebelum berlepas.